1001 kisah tentang cencaluk
Cencaluk ialah sejenis lauk dalam hidangan tradisional Melaka. Oleh sebab ia dibuat daripada udang halus yang lebih dikenali sebagai udang geragau, cencaluk mengandungi kandungan protein yang tinggi.
Kebiasaannya, udang geragau ini sukar didapati.
Di negeri Melaka, udang ini boleh didapati pada musim tertentu di Pantai Klebang, Limbongan, Tanjung Kling dan beberapa kawasan pesisiran pantai yang lain. Melaka bukan sahaja terkenal dengan kesan peninggalan sejarahnya yang menarik lagi unik, malah tidak ketinggalan juga dari segi makanannya yang amat lazat lagi menyelerakan. Apabila kita menyebut mengenai makanan yang terdapat di Melaka, pasti kita akan teringatkan cencaluk.
Mengikut kepercayaan lama yang telah menjadi kata-kata senda gurau pula, kononnya jika pada hari perkahwinan seseorang itu, hujan turun sepanjang hari, maka dikatakan bahawa mempelai suka makan cencaluk. Namun itu semua hanyalah cerita lama. Makanan ini yang suatu ketika dulu dipelopori oleh masyarakat Melayu di Melaka kini lebih digemari oleh semua lapisan masyarakat, bukan sahaja di tempat asalnya, malahan sudah melangkaui sempadan Malaysia. Ia juga menjadi satu keperluan atau lauk semasa menikmati hidangan nasi dan ada juga yang menjadikan petai atau jering sebagai ulam semasa memakan cencaluk. Kini, perusahaan membuat cencaluk semakin mendapat tempat di kalangan penduduk di beberapa kawasan di negeri Melaka.
Kerajaan negeri sendiri sudah menetapkan kawasan Dewan Undangan Negeri Kawasan Sungai Udang sebagai kawasan mengeluarkan cencaluk di dalam rancangan 'Satu DUN Satu Produk'. Selain itu, cencaluk juga kini mudah diperolehi menerusi penjualan yang terbuka seperti di tepi jalan raya serta di pasar-pasar sekitar negeri ini. Bagi mereka yang melalui pesisiran kawasan Tanjung Kling ke Sungai Udang, pasti akan dapat melihat deretan gerai yang menjual cencaluk dan juga belacan. Proses membuat cencaluk Proses pembuatan cencaluk memerlukan beberapa kaedah untuk membuatnya dan ia perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan mutu serta kualiti cencaluk itu sedap dirasa apabila dimakan.
Udang geragau yang segar, iaitu tanpa direndam dengan air, akan dicampurkan dengan garam, dan sedikit nasi, iaitu sama seperti bahan- bahan untuk membuat belacan. Setelah ketiga-tiga bahan sudah menjadi sebati, ia seterusnya akan dimasukkan ke dalam sebuah bekas, iaitu pasu, guri atau tempayan kecil. Pasu dan tempayan kecil itu kemudiannya ditutup dengan kain bersih untuk diperam selama tiga hari. Ada juga pembuat cencaluk yang menambahkan sedikit air didih nasi bagi menambah kesedapan cencaluk.
Apabila cencaluk sudah diperam dan sesuai untuk dimakan, ia boleh disedapkan lagi sewaktu dimakan sebagai lauk dengan nasi melalui dua cara: cencaluk dicampur dengan lada basah dan bawang besar yang dihiris. Kemudian ia akan dicampur dengan perahan limau nipis atau limau kasturi; ataupun cencaluk dicampurkan dengan sedikit lada basah dan sehiris dua halia, kemudian digoreng dengan telur.
CARA MENYEDIAKAN CENCALUK:
Bahan-bahan ( 3 orang )
3 sudu besar cencaluk
3 biji cili api- dihiris nipis
1 ulas bawang kecil
5 hirisan serai
1 biji limau nipis - perah ambil jus
Cara-cara
Satukan semua bahan. Sesuai makan dgn ikan goreng, sayur masak air dan nasik panas
perghhh..melecur ayaq liur aku tgk,ade plak ikan pekasam,mak menrtua kt blakang x nampak lahh..
ReplyDeletelupa....Peace!
ReplyDelete