1001 Rahsia Udang dan pelbagai cerita menarik.

Kisah Etok



Tahukah anda nama saintifik untuk Etok/etak adalah Corbiculacea . Etok adalah haiwan kerang-kerangan yang menetap di kawasan air bersempadan kawasan air tawar dan air masin, namun lebih kepada kawasan sungai rendah berbanding muara yang berhampiran laut. Ia merupakan haiwan bercengkerang mollusc dwicengkerang. Ia termasuklah Corbicula fluminea dan Cyrenacea, Sphaeriacea.

Bagaimana memasak Etok.

Etak boleh dimasak dalam beberapa cara, antaranya gulai lemak putih, singgang, salai, dan goreng berempah. Paling popular adalah dimasak secara salai.

Proses salai melalui satu proses yang panjang dengan membersih etok itu sendiri. Setelah itu, ianya akan diperap dengan bahan-bahan yang lazim seperti serai, bawang putih, halia, ketumbar dan halba yang dikisar halus. Setiap penyalai etok mempunyai bahan rahsia yang tersendiri dan ini membezakan dengan setiap penyalai etok.

Sebenarnya etak ini mendatangkan khasiat yang tinggi kerana ia mampu menambahkan darah dalam badan memandangkan ianya adalah hidupan bersih yang hanya memakan lumut hijau.


Anchok alat untuk Menyalai Etok


Proses Menyalai


Etak yang telah siap disalai dan sedia untuk dimakan!

CARA MAKAN

Bagi orang yang tidak biasa memakan etak, ianya agak berbahaya kerana gigi anda mungkin sumbing! Betul, kulit etak harus dibuka menggunakan gigi!

Namun begitu, membuka kulit etak ada teknik tersendiri, sama ada menggunakan mata pisau ataupun menggunakan kulit etak itu sendiri.

Bagi orang Kelantan, mereka hanya membuka kulit etak dengan menggunakan gigi sahaja dan dengan itu barulah merasai kelazatan rempah yang disalai pada kulit etak tersebut.

Peringatan, setelah anda memakan etak, elakkan terus meminum air terutama air batu, kerana perut anda mungkin sakit.


Membuka kulit etak dengan Pisau


Membuka etak dengan kulit etak itu sendiri

HABITAT

Etok umumnya boleh dijumpai dikawasan sungai air tawar yakni pada dasar sungai atau terusan. Ia boleh juga dilihat hidup dikawasan hampir ke muara sungai yakni berdekatan dengan delta atau laut. Namun, etok lebih banyak hidup di sungai berdekatan sawah padi.

Etok yang kebanyakannya bersaiz batu kerikil, banyak mendiami kawasan sungai di bahagian negara-negara beriklim tropika seperti di negeri-negeri pantai timur Malaysia seperti Kelantan dan Terengganu. Selain itu, etok juga turut mendiami kawasan sungai pantai timur Thailand. Ia lebih gemar hidup dalam dasar sungai yang tanahnya berselut.

Di Malaysia, musim kemarau diantara bulan Mac hingga Ogos dilihat adalah musim terbaik untuk mengokok (proses mengumpulkan) etok bagi dijadikan hidangan, kerana pada musim tersebut, sungai-sungai di Malaysia biasanya mengalami penurunan aras air dan sungai lebih cetek dan mengalir perlahan. Etok merupakan haiwan sungai yang dilihat suka pada kawasan yang tenang aliran airnya dan berlumpur.

Kulit etok biasanya terdapat dalam 2 macam warna, iaitu coklat kehitaman dan warna kuning cerah. Etok bercengkerang warna coklat kehitaman sering dijumpai dikawasan sungai air tawar yang berlumpur, manakala berwarna kuning cerah pula dikawasan berpasir.

Etok boleh dikaut dengan menggunakan pengaut atau jaring yang diperbuat dari kerawat besi yang orang tempat namakanya pengokok.

No comments:

Post a Comment

Anda suka artikel dalam blog ini ? Jangan lupa klik mana-mana iklan sebagai tanda sumbangan anda