1001 Rahsia Udang dan pelbagai cerita menarik.

Panduan Memancing Udang Galah

Panduan Memancing Udang Galah

Ketika arus deras, cari kawasan olak atau reba di mana airnya tenang. Ketika arus deras, udang galah lebih gemar menyusup di bawah timbunan reba kayu dan celah reba pokok nipah. Memancing di kawasan ini ketika arus deras boleh membuahkan hasil.

Apabila air bergerak pasang, udang mula keluar berkeliaran di serata kawasan luar reba. Lontar umpan di kawasan luar dan tengok lubuk mana yang cepat umpan digonggong sang udang galah. Ketika bunga pasang udang galah lebih aktif dan mudah dipancing berbanding ketika arus laju.
PERIHAL BATU LADUNG
Batu ladung lazimnya diperbuat daripada timah kerana ciri utama timah ialah ketumpatan tinggi dan menjadikannya berat, suhu lebur rendah menjadikan kos pembuatan murah, tahan karat dan tahan hakisan air laut. Ia juga logam yang paling banyak dikeluarkan oleh negara kita. Dua jenis batu ladung utama yang digunakan pemancing ialah ladung hidup dan ladung mati.

Ladung hidup memberi maksud ia membenarkan tangsi bergerak bebas melaluinya tanpa diikat. Fungsi utama ialah memberi ruang kepada tali melaluinya tanpa perlu mengheret ladung. Di sini ladung akan kekal pada posisi asal tanpa bergerak ketika umpan dilarikan ikan. Ramai pemancing berpendapat ikan lebih teruja apabila umpan kelihatan seperti bebas. Maknanya apabila umpan disambar, ikan tidak terasa berat dan ia tidak mudah meluahkan kembali umpan berkenaan.

Ketika ini pemancing akan memberi tali kepada ikan yang biasanya mengambil masa ketika proses mengesan, mengonggong dan seterusnya peringkat menelan umpan. Sesetengah ikan akan memuntahkan kembali umpan apabila terasa ‘berat’ dan umpan tersangkut-sangkut pergerakannya. Jenis ladung hidup yang popular ialah ladung biji kana dan ladung bulat. Ladung mati pula ialah ladung yang diikat tangsi. Kalau ladung hidup tangsi hanya lalu didalamnya, ladung mati pula tangsi dimatikan pada ladung itu sendiri termasuk menggunakan kili atau klip.

Ladung jenis ini lebih popular dikalangan pemancing laut dalam dan teknik pancing apollo. Sesuai untuk kawasan berarus deras di mana ladung bertindak sebagai penahan umpan kecuali apabila umpan dilarikan ikan. Namun begitu, kedua-dua jenis ladung boleh dijadikan dwi fungsi bergantung kepada kreativiti dan teknik yang diguna pakai pemancing. Dengan kata lain, ladung mati boleh dijadikan ladung hidup menggunakan aksesori tambahan seperti tanduk yang boleh bergerak.
Perambut dan Mata Kail Udang Galah
Perambut udang galah kebiasaannya ialah menggunakan tangsi 6 paun hingga 12 paun. Ini sudah memadai dengan berat udang itu sendiri. Kekuatan 12 paun boleh menampung dan mengangkat beban maksimum 5.5 kilogram sudah terlalu besar untuk udang galah sungai yang purata 50 gram hingga 500 gram. Panjang perambut seeloknya 15 sentimeter atau lebih kurang sejengkal jari orang dewasa. Jenis tangsi biarlah yang lembut supaya udang galah tidak begitu 'terasa' beban ketika mengunyah umpan.

Mata kail udang banyak jenis dan saiz mengikut tempat, jenis lapangan pancing dan saiz udang. Saya biasanya menggunakan mata kail saiz 2 atau 3 dari jenama Coral dan The Anglar. Mata kail ini yang halus, kuat dan tajam sangat ampuh di kala memburu udang galah.

Namun begitu, terpulang kepada pemancing yang mana satu jadi pilihan. Kalau tidak pasti tanyalah kepada kaki udang galah yang berpengalaman. Selamat Memancing Udang Galah.


Musim Udang Galah

Memancing udang galah tiada musim tertentu sama ada di kawasan hulu sungai dan pedalaman termasuk lombong, tasik dan kolam. Bagaimanapun musim kering (tiada hujan sebelumnya) adalah masa terbaik memancing udang galah. Selain daripada itu waktu malam lebih mudah mengendap udang galah berbanding siang kerana kawasan persekitaran air jernih dan udang galah jarang keluar merayau siang hari bagi mengelak diterkam pemangsa.

Perlu diingatkan jika lokasi yang dikunjungi jauh dari kawasan pembangunan seperti hulu sungai pedalaman umpamanya, langkah keselamatan perlu diambil perhatian memandangkan malam hari terlalu banyak bahaya. Jika wujud keadaan kurang selamat dinasihatkan lebih baik tidak usah memancing di kawasan terbabit.

Bagi muara sungai musim udang galah hadir selepas beberapa hari sebaik saja hujan berhenti. Kebiasaannya air hujan akan keluar ke laut melalui sungai turut membawa bersama udang galah. Ketika ini udang galah akan berkeliaran di kawasan muara yang ketika itu airnya tawar.

Udang galah akan mudik semula ke hulu sungai apabila muara sungai kembali payau atau masin. Secara ringkasnya musim udang adalah sepanjang tahun kecuali di muara hanya selepas musim hujan atau ketika muara sungai tawar airnya.
Perihal Tali Tangsi
Sifat anjal yang dimiliki tali tangsi membolehkan tali menerima tekanan lebihan sebanyak 25 peratus. Contohnya tali yang berkuasa 10 paun boleh menerima tekanan sehingga 12.5 paun. Daya kekuatan ini membolehkan tali memanjang apabila menerima tekanan.

Tangsi juga berupaya kembali kepada bentuk dan kekuatan asal setelah berlaku tekanan kecil yang tidak melebihi kadar 25 peratus itu. Pada amnya, semakin halus dan semakin kecil diameter tali, semakin kuranglah tekanan yang diperlukan untuk merosakkan daya kekuatannya.

Bagaimanapun pemancing harus berhati-hati kerana tenaga dan saiz ikan, jangka masa dan tekanan semasa pertarungan boleh menghampiri titik pemutusan tali. Kebanyakan pemancing profesional yang ingin memecahkan rekod tangkapan ikan besar akan menggunakan tali berkuasa rendah sambil membawa gelendung tambahan untuk menukarnya setiap kali selesai pertarungan.

Untuk memeriksa calar dan hakisan yang mungkin wujud pada tali, anda hanya perlu lurutkan tali antara jari ibu dan telunjuk ketika memasukkan tali ke dalam geledung. Beringat supaya mengeluar atau memeriksa lebihan tali selepas setiap 'trip' memancing. Seandainya ikan pernah melarikan sebanyak 20 meter tali, maka keluarkan 40 meter untuk memeriksa takik yang mungkin disebabkan oleh sampah, batu, ikan, kerosakan cincin atau ikatan pada cili.

Ketahanan tali yang halus akan merosot atau hilang dalam kadar yang tinggi sekiranya terdapat takik atau kikisan berbanding tali kasar yang sama ketahanannya.Regangan lampau pada tali tangsi juga perlu diperiksa dengan cara mengeluarkan dan kemudian memasukkan tali semula ke dalam kekili melalui ibu jari dan telunjuk. Tali yang masih baik mempunyai bentuk ukur lilit yang bulat.

Oleh itu, jika anda merasai perubahan pada bentuk tali kepada bentuk leper yang menipis ataupun daya regangan seolah-olah hilang maka daya ketahanan pada bahagian berkenaan adalah kritikal. Gantikan tali. Sekiranya anda berada di atas bot dan tidak mempunyai tali simpanan, buangkan beberapa meter di belakang tempat yang rosak.

Satu lagi kunci untuk mengetahui tali sudah rosak ialah daya kekuatannya yang agak lemah. Jika ikatan yang betul gagal dilakukan, itu tandanya ia perlu ditukar.

8 comments:

  1. Tali benang takde spring mcm tangsi

    ReplyDelete
  2. Tali benang takde spring mcm tangsi

    ReplyDelete
  3. yg xbleh than tu pkai tngsi asyik kne ptong ngan buntal je,kt situ ade udang kt situ la ade buntal,sbo je le

    ReplyDelete
  4. terima kasih atas perkongsian cara memancing udang galah. Bagaimana pula cara memancing udang galah kolam?

    ReplyDelete

Anda suka artikel dalam blog ini ? Jangan lupa klik mana-mana iklan sebagai tanda sumbangan anda