“Saya reda tetapi berharap anak ditemui,” kata Fatimah Hussin, 45, yang setia menanti anak sulungnya, Mohd Arif Mohd Nordin, 20, ditemui selepas dikhuatiri lemas akibat terjatuh ke dalam Sungai Kelantan, kelmarin.
Fatimah berkata, dia yang dalam perjalanan ke Kuala Besut, Terengganu, sebelum kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, terpaksa berpatah balik ke Kota Bharu apabila dikejutkan dengan berita itu yang dimaklumkan anak kedua, Mohd Afiq, 16.
Katanya, dia sempat melihat anaknya itu berehat di rumah di Taman Uda Murni dan Mohd Arif tidak memberitahu mahu keluar dengan rakannya.
“Setiba di tempat kejadian, saya melihat anggota bomba dan penyelamat sedang mencarinya,” katanya.
Mohd Arif yang juga bekas pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu dikatakan terjatuh ke dalam sungai itu ketika melalui pelantar besi pembinaan Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra dengan menaiki motosikal.
Dia melalui kawasan itu bersama dua lagi rakan yang berjalan kaki melintasi pelantar besi itu menuju ke arah Pasir Pekan, Tumpat.
Mohd Arif mengikuti pengajian dalam jurusan pelancongan di kolej terbabit dan dijangka melanjutkan pengajian ke sebuah kolej di Kuala Lumpur awal Mac depan.
Rakan mangsa, Nelly Nurshafira Md Ghazali, 20, berkata sebelum kejadian sebuah kereta melalui pelantar itu menyebabkan Mohd Arif cuba mengelak tetapi tiba-tiba kaki Mohd Arif terperosok ke dalam ruang antara besi pelantar itu dan terjatuh ke dalam sungai dalam keadaan masih memakai topi keledar.
“Saya yang berpaling ke belakang tergamam melihat dia terjatuh dan tidak tahu apa perlu dilakukan.
“Dia terkapai-kapai selama kira-kira 10 minit. Saya menghubungi polis dan ambulans,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Zainal Fitri Hussin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.40 petang kelmarin.
Katanya, seramai 35 anggota bomba, bomba sukarela, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) melakukan gerakan mencari mangsa.
“Hari ini (semalam) kita meneruskan operasi mencari di sepanjang sungai sehingga ke Kuala Besar, Pantai Cahaya Bulan,” katanya.
Sumber berita : mymetro
Sehingga jam 4.30 petang hari ini 18/2/2013, mangsa belum ditemui.
No comments:
Post a Comment