1001 Rahsia Udang dan pelbagai cerita menarik.

Kisah Pemancing diganggu makhluk halus



 Di sini dipaparkan kisah benar tentang gangguan makhluk terhadap pengail yang memancing tanpa mengenal waktu. Begitulah yang diceritakan dalam beberapa blog. Kalau bohong blog tu, maka bohonglah saya...
tetapi bolehlah kisah ini dijadikan pengajaran dan hiburan anda membacanya....

KISAH 1

Kisah terjadi di muara sungai Tuaran.  Menurut kawan kepada kawan saya, sesekali jika air cantik, berbondong-bondong ikan gelama atau ikan putih masuk ke muara dan pengail yang bertuah akan dapat menaikkan berpuluh-puluh ikan yang datang secara bermusim itu. Dan kejadian usikan yang akan saya ceritakan ini berlaku semasa air cantik sehingga ikan yang dipancing sungguh banyak sekali. Saya sengaja tidak mahu mendedahkan identiti pemancing kerana tidak mahu orang yang terlibat merasa malu.

Pemancing A telah bertandang ke muara Tuaran dengan berbekalkan udang hidup dan sedikit ikan basung sebagai umpan. Sejak memulakan pancingan pada jam 4.00 petang, tiada sebarang ikan mencuit umpan buat 2 jam pertama. Apabila hari semakin gelap, sekonyong-konyong satu sambaran yang kuat hampir menarik joran kesayangannya ke dalam sungai. Selepas bertarung hampir 7 minit, ikan putih anggaran 1.5 kilogram dinaikkan. Lontaran kali kedua bersambut dengan kadar segera dan ikan anggaran sebaya dinaikkan, kali ini perlawanan lebih singkat selepas drag diketatkan. Sambaran demi sambaran menyebabkan Pemancing A leka dan selepas umpan habis, jam tepat menunjukkan pukul 12.00 tengah malam. Sekonyong-konyong, semacam bau harum semerbak menusuk hidungnya. Tiba-tiba sahaja bulu romanya berdiri. Cepat sahaja dia mengemas barang-barang dan barulah dia menyedari, dia sedang keseorangan memancing di sebuah muara sungai yang sunyi.

Dalam perjalanan menuju ke motosikal cup, bau harum menjadi semakin kuat. Mulut kumat-kamit membaca sesuatu. Berseorangan memancing di lubuk sunyi bukan menjadi satu perkara asing buat pemancing A. Namun kali ini suasananya cukup berlainan. Bulu roma terus tegak berdiri walaupun dia menguatkan bacaan ayat-ayat suci sebagai penguat semangat. Sebaik engin motor dihidupkan, dia memecut dengan tergesa-gesa meninggalkan muara sungai dengan berbekalkan 10 ekor ikan putih berbagai saiz.

Tiba-tiba...di suatu selekoh, dia terlihat kelibat manusia. "Ahh...bagus juga ada orang...sekurang-kurangnya ada orang yang menemani menghadapi suasana sunyi dan gelap", bisik hatinya. Apabila menghampiri lembaga itu, Pemancing A terpaksa memberhentikan motosikalnya kerana rupa-rupanya seorang gadis yang sangat cantik berbaju putih rambu-ramba telah melambaikan tangan ke arahnya. Bagai terpukau dengan kecantikan gadis itu, mata Pemancing A tidak berkedip langsung. Sayup-sayup sahaja suara gadis itu menerobos gegendang telinganya.."Bang, boleh tumpang bang? Rumah saya tak jauh dari sini, dekat hujung simpang depan tu aje..". Segala-galanya berlaku begitu pantas. Tidak lama selepas itu, Pemancing A membayangkan sedang memboncengkan seorang gadis cantik berbaju putih dengan haruman menawan ke simpang yang dimaksudkan.

Sesampai di simpang yang dimaksudkan oleh gadis itu, yang kebetulan tidak berapa jauh dari tempat gadis itu mula menaiki motosikalnya, Pemancing A memperlahankan motor. Matanya meninjau ke sekeliling simpang dan terpandang batu nesan berceracak berkilat-kilat disinari bulan purnama. Serentak dengan itu, dia menoleh ke belakang dan alangkah terkejutnya dia apabila mendapati tiada sesiapa membonceng di belakang motornya. Bagaikan menghadapi satu trauma maha hebat, dia memecut meninggalkan simpang misteri itu...

Kejadian Pemancing A disakat gadis cantik di simpang kuburan tersebar luas di kalangan kaki pemancing. Muara Sg. Tuaran tidak lagi didatangi pemancing buat satu jangka masa yang lama. Tetapi dua bulan selepas kejadian itu, muncul seorang pemancing yang baru sahaja bertukar ke daerah Tuaran dari semenanjung. Akibat ketagih memancing, tanpa usul periksa, Pemancing B telah memancing di muara berpenunggu itu berseorangan sahaja. Kebetulan pula musim ikan gelama sedang masuk muara. Sejak jam 5.00 petang, tidak menang tangan dia melayan dua batang joran. Semakin menghampiri maghrib, semakin rancak ikan mematuk umpan. Akhirnya Pemancing B kehabisan umpan dan mula meninggalkan muara Tuaran pada jam 12.30 tengah malam.

Kejadian yang dialami oleh Pemancing A berulang semula. Seorang gadis berbaju serba putih dengan wangian semerbak telah melambaikan tangan untuk menumpang motornya. Pemancing B yang tidak pernah mendengar gangguan hantu sebelum ini telah dengan senang hati menumpangkan seorang gadis yang tersangat cantik pada pandangan matanya.

Sesampai di simpang kuburan, Pemancing B memberhentikan motor. Gadis cantik itu memberi sebuah senyuman yang cukup manis. Sambil mengucapkan terima kasih, si gadis berkata... "Abang bagus.. Dulu saya cuba menumpang motor pemancing macam abang...TETAPI,...BELUM SAYA NAIK, SUDAH DIA JALAN!"

KISAH 2

Pemancing telah pergi ke sebuah muara di Tanjung Piandang, yang di katakan sebuah lubuk bagi ikan semilang. Tepat pukul 12.30 malam (fanatik memburu semilang), mereka sampai ke lubuk tersebut dengan hanya berlampukan cahaya bulan yang separa terangnya.

Perjalanan ke lubuk tersebut tidak memerlu menggunakan sebarang bot kerana dengan menaiki kereta mereka berjaya untuk sampai ke lubuk tersebut dan perlu berjalan kaki di dalam hutan bakau untuk sampai ke destinasi.

Mujur di waktu malam, lubuk tersebut tidak ada sebarang bot nelayan yang lalu, dan mereka mulakan menyiapkan joran untuk melemparkan umpan udang. Sebaik sahaja, umpan di humban ke lubuk, rod melentuk menandakan ikan menarik, wah... memang cepat. Tetapi ikan di situ hanya anak ikan duri, tidak ada tanda-tanda ikan semilang yang dicari.

15 minit berlalu, 5-6 ekor ikan duri telah dinaikkan, tiba-tiba terdengar sebuah bunyi yang pelik, datang dari hutan paya bakau. Bunyi tersebut seolah-olah seorang bayi yang sedang mengerang. Pada mulanya Sham dan Shah tidak mempedulikan bunyi tersebut kerana bunyinya agak jauh. Tetapi selang beberapa minit bunyi tersebut semakin kuat. Bunyi yang kuat dan menyeramkan seolah-olah memanggil Sham dan Shah.

"dengar tak apa yang aku dengar?" kata Shah
"biarkan, jum kita balik, ikan pun tak banyak, ada plak yang menganggu" balas Sham cuba untuk mengelakkan diri dari terus di belenggu rasa takut, walaupun mereka dua memang sudah merasakan perasaan yang seram.

Kedua-dua joran di tarik dan di simpan dan mereka terus balik, sebelum terjadi perkara-perkara yang tidak di ingini.


KISAH 3

Tengahari yang cerah, cuaca yang baik untuk pergi ke Lubuk Lakom, Air Kuning Taiping. Mat dan Bob dari Team RL menyiapkan persiapan mereka untuk memancing ikan tengas. Di Lubuk Lakom memang terkenal dengan ikan yang besar sehingga mencecah 1++Kg.

Perjalanan di mula dengan menaiki motosikal dan di sambungi dengan berjalan kaki di tepi jeram sungai mendaki bukit untuk sampai ke lubuk tersebut. Pada jam 2 petang mereka tiba ke Lubuk Lakom dan agak memenatkan, mereka pun merehatkan diri di tepi jeram sungai sambil menyiapkan kelengkapan untuk memancing tengas.

"letak sahaja dah lekat ikan tengas" Kata Mat pada Bob, memang lapar betul ikan tengas di sini. Mat dan Bob asyik menaikkan ikan tengas yang boleh tahan saiznya. Bob pula mula naik mencari "port" yang lebih sesuai lebih tinggi dari "port" yang di pancing oleh Mat.

Tidak sampai setengah jam, Mat melihat Bob berlari bergegas turun dari celah-celah batu sungai menuju ke arah Mat. Sebaik sahaja sampai di tepi Mat, Bob menepuk bahu Mat sambil menjerit "Mat jum blah!". Dengan tiba-tiba, selepas ditepuk oleh Bob, Mat melihat keadaan sekeliling menjadi gelap gelita, mereka memang terkelu melihat keadaan sekeliling, mereka merasakan keadaan baru jam 4 atau 5 petang, tetapi jam di tangan menunjukkan pukul 10 malam.

Keadaan yang gelap di hutan tebal, yang tidak ada kampung yang berhampiran. Mereka pula tidak membawa sebarang lampu, dengan hanya pemetik api rokok yang di jadikan lampu untuk menyuluh mereka pulang ke bawah. Sehingga ke hari ini, Bob dan Mat masih mengatakan mereka baru sahaja tiba di Lubuk Lakom, tetapi hari sudah gelap dengan tiba-tiba.

Sebuah pengalaman yang tidak dapat mereka lupakan.

Kisah-kisah dari pengalaman-pengalaman pemancing yang lain

KISAH 4

Kisah pertama ini berlaku di bulan Julai 2009 yang lalu. Saya suami isteri memang minat memancing. Pada waktu itu saya, suami dan seorang adik angkat saya telah pergi memancing di tepi pantai Changi. Kami tiba di sana di waktu petang. Biasalah bila dah sampai sana apa lagi, kami pasang khemah dan menyiap barang-barang pancing kami. Tapi rupanya pada hari tu hujan turun tak henti setelah 3 jam kami berada di sana. Hujan berlarutan hinggalah ke lewat malam. Kami memang berniat memancing 2 hari tapi keadaan begini mengundang kami pulang pada keesokan harinya.

Bila malam tiba, biasalah kalau dah kaki pancing, masih memancing walau pun hujan turun. Kami bertiga berteduh di dalam khemah dan kami biarkan kesemua 7 joran kami tersusun tegak di tepi pantai. Kami tidak tutup pintu khemah jadi kami boleh melihat hujan yang turun dengan lebat sekali. Walaupun hujan tapi suasana tak gelap sangat kerana pancaran dari lampu di jalanraya. Dari khemah, kami masih boleh melihat joran kami di luar dari jauh. Berlampukan lampu yang khas untuk khemah, kami semua duduk di dalam menghadap laut, sambil berbual dan berborak-borak, saya beralih pandangan ke joran kami.

Di dalam hujan, saya ternampak bahawa salah satu dari joran suami telah diangkat dan seperti seseorang sedang memancing ikan. Tetapi tidak kelihatan. Saya terus suruh suami dan adik angkat saya melihat, "Korang tengok kat joran tu. Korang nampak apa yang aku nampak?" Mereka terus diam. Suami pula lagi boleh buat lawak. Dia berkata, "Sudah biarkan. Tempat dah gelap. Harapkan lampu jalan. 'Dia' nak join pancing biarkan lah. Mana tahu dapat ikan. Mana tahu dia tak pernah 'try' pancing 'pakai' joran... Hehehe... Jangan tegur lah. Sekali dia jelma depan mata lagi satu kerja. Dah buat bodoh. Awak tu lemah semangat..."

Selepas suami kata begitu sambil kami memerhatikan joran itu, tiba-tiba seperti benda itu tahu yang kami melihat apa yang dia buat dan terus joran itu dia letak kembali semula ke tempat asal. Ingatkan dah berhenti. Rupanya selang setengah jam dari kejadian itu satu dari joran saya pula dibuat main. Tapi joran saya semua ada saya letak loceng. Jadi bila benda itu seperti bermain dengan joran saya, locengnya berbunyi. Selepas itu ia berhenti. Ia seakan-akan ingin mencuba semua joran itu. Kelakar tapi menyeramkan kerana tidak dapat melihat. Inilah satu kejadian yang saya alami ketika memancing.

KISAH 5

Cerita ni terjadi sekitar tahun 2006, aku and the geng dengar ada dengar citer banyak lombong tinggal kat puncak Polo Iskandar, sebab apa kena tinggal aku tak tahu la pulak, tapi yang pasti kebanyakan lombong tinggal tu bekas tapak kolam ikan yang cina bela. Kebiasaaannya, kalau tempat tu bekas kolam ikan, mesti banyak ikan yang tak habis angkut masa last punya harvest.

Dipendekkan cerita, petang tu aku and the geng berangkat naik ke tempat sasaran. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk sampai ke destinasi. Kira penghujung jalan dan last punya lombong la kan..Sampai tempat tu lebih kurang jam 6.30, aku pun terus parking dan pusing siap-siap kereta pasal senang nak turun balik karang. (nasib baik)

Sampai jer terus, semua ambil port memancing. Lebih kurang 15 minit menunggu, joran kawan aku kene sambar, naik seekor jelawat lebih kurang 3 kilo. Wow! sangat lumayan, tunggu tak sampai 15 minit dah kena.

Hari beransur gelap a.k.a remang senja. jeng jeng jeng….

2 orang kawan aku tengah pasang unggun api.. nak bagi terang kawasan memancing situlah kan.. Walaupun belum gelap lagi tapi takkan dah gelap baru nak pasang api kan..Betol tak?

Aku plak duduk kat pancing sambil sembang2 dengan kawan aku yg duduk kat sebelah, aku terdengar satu bunyi yg mencurigakan.

uuuiii… uuuiii…uuuuiiii……

Kawan aku kat sebelah tak perasan bunyi tu kot, asyik membebel pasal ikan yang tak makan umpan. Huh! Hampeh betul. Aku cuba mengamati bunyi tu betul2, dan bunyi tu masih lagi berlanjutan. Hati aku dah start rasa tak sedap dah nih, tapi cuba berlagak cool dan rilek dulu. Aku dah tak pandang pancing dah time tu, dalam dok dengar bunyi tu tetiba dah ada tambahan bunyi, aku dengar bunyi budak menangis. Aduh.. ini dah lebih..dalam hati dah start baca ayat Kursi dan 3 Qul. Bunyi tu masih lagi berlanjutan..

Tiba2 kawan aku yang lagi seorang datang ke tempat aku dan duduk sebelah aku. Dia kata dia terperasan ada orang lain memancing seberang kolam, tapi bila tgk balik dah takde. Masa kawan aku cerita pasal apa yg dia nampak, bunyi uuuiii.. uuuiii…uuuiiiiiii berselang seli dengan tangis budak makin kuat… kompom Cik Ponti punya…Hohohoho

Tak boleh jadi ni, aku terus bangun dan ajak kengkawan aku balik.. 2 orang kwn aku yang tengah pasang unggun api tak nak balik pasal dorang kata baru sampai. Gila ke apa?! Hampeh betul.. Aku cakap kat dorang, jom la balik, nanti lagi susah. Barulah semua start packing barang nak balik. Bila dah siap packing nak bergerak ke kereta, aduh..baru perasan bunyi tu datang dari pokok yang paling dekat dengan kereta aku. Kiranya, kalau nak pegi ke kereta, kena lalu bawah pokok tu dulu. adeh.. siot betul.

Tapi apa nak buat, kena lah lalu jugak kan. Takkan nak tunggu situ lagi..hehe,..Kita orang pun berjalan pegi ke kereta berlampukan torchlight yang time tu jugak la nak meragam.. kejap ada lampu kejab takde. hehehehe…

Masa lalu bawah pokok tu, Tuhan je la yang tau..bulu roma ni dah meremang sakan dah oii… Masa nak sampai ke kereta, tetiba dah dengar bunyi orang ketawa mengilai….Apa lagi? Kita orang semua lompat masuk dalam kereta la. Aku try start kereta, Alhamdulillah..boleh start. Terus masuk gear satu dan jalan..tak tengok belakang dah… hehe.. takut siott..

Tapi…………Ingatkan gangguan dah habis, masa turun dari puncak bukit tu..ada 2 kejadian aneh.

1. masa turun dari bukit tu mmg dah gelap. semuanya hanya berpandukan lampu kereta. tapi ada sebiji motor yang entah datang dari mana potong kereta aku. yg paling best motor tu tak pasang pun lampu. huhuhu…

2. masa turun kami bertembung dengan dengan teksi. Teksi tu menuju ke puncak bukit. Kawan aku terus tanya aku pasal teksi tu. Syyyyhhhh!..jangan tegur..biarkan je dia. Adui..masa berselisih dengan teksi tu, aku menjeling tengok apa yang ada dalam teksi tu, HIJAU beb Hijau..orang yang bawak teksi tu warna hijau…nasib baik aku yg jeling tengok dia. bukan dia yg menjeling tengok aku.. kalau tak kompom 180kmj turun bukit tu,. hahaha

Alhamdulillah, akhirnya kami sampai jugak ke jalan besar, terus menuju ke rumah kawan aku di area Ampang. Kawan aku duduk berjiran dengan Cina. Rumah cina ni ada anjing.. masa aku parking kereta, anjing tu tak duduk diam, asyik menyalak je. Menyalak ke arah kereta.. Adoyai.. mengikut balik la pulak. Kami semua masuk dalam rumah..Semua mandi dan sembahyang. Mengaji lebih kurang barulah anjing kat luar diam.. Alhamdulillah..huhu…

Inilah salah satu cerita seram aku dalam dunia sebagai pemancing tegar.. hehe… agak menyeramkan.. kalau korang ada cerita, silalah berkongsi. mari bertukar cerita seram semasa memancing.. hehehe

KISAH 6

Kelihatan beberapa orang sedang leka dengan kail masing-masing. Ada juga yang sekadar menonton.

Zuuppppp... Aku melepaskan tali pancing. Kami mula menunggu, setelah semua joran dipasang. Moga-moga kami berjaya hari ini, insya Allah.

Matahari sudah mula terbenam, namun joran kami masih belum terusik. Sesudah beberapa kali memasang umpan, hanya riak halus air yang kelihatan. Kami ambil keputusan untuk bersolat dahulu.


Sesudah solat, kami makan nasi bekal yang disediakan oleh ibu di rumah tadi, sambil sedia untuk bertindak andainya pancing terusik. Sesudah makan, kami kembali tumpukan perhatian kepada pancing.

"Isy... kenapa tak ada sekor pun naik ni?", bisik hati aku. "Belum rezeki agaknya..."

Ketika aku asyik memerhatikan permukaan air, mataku tertumpu ke arah sesuatu yang kelihatan seperti cahaya, kira-kira 5 meter dari tempat aku duduk. Aku mula memerhatikan objek tersebut yang berkelakuan seperti seekor pepatung yang seringkali kelihatan bermain-main di permukaan air.

"Apa tu aaa...? Kalau pepatung takkan cerah sangat cahayanya tu." Namun kata-kata itu tidak aku tuturkan.

Cahaya tersebut semakin pudar dan dengan perlahan terbentuk suatu objek lain yang sesunggunya menyebabkan aku tergamam. Jelas di hadapanku, kelihatan satu lembaga berbentuk kepala. Mukanya hodoh dan berambut panjang mengurai.

Aku mula menggigil, tapi mulutku benar-benar terkunci. Pakcikku yang tadi berada tidak jauh dariku kini sudah hilang. Aku berasa amat takut. Lembaga tersebut menggebang-gebangkan rambutnya seperti sayap burung dan memandang ke arahku. Matanya yang merah membuatkan aku semakin takut.

Tiba-tiba aku rasa seluarku basah. Serentak dengan itu, bahu aku ditepuk dari belakang.

"Lan! Lan oii...! Kau tengok apa tu?"

Mulutku cuba untuk-untuk berkata-kata tapi tak berdaya. Mataku tetap memandang ke arah lembaga tersebut yang kelihatan semakin kabur. Seketika kemudian, ia lenyap sepenuhnya. Aku tetap tak boleh bercakap, walaupun aku sedar dengan apa yang berlaku di sekelilingku. Pakcikku terus memanggil-manggil namaku.

Semakin lama aku rasa semakin lemah dan akhirnya aku pengsan.

Keesokannya, aku mula sedar. Aku berada di rumah dan ibuku berada di sebelah.

"Mana pakcik?" spontan aku bersuara.

"Pakcik ada kat luar tu...", ibuku menjawab.

Aku rasa badanku lemah, tapi aku masih boleh melangkah perlahan-lahan ke serambi rumah.

Pakcikku yang sedang leka menghembuskan asap rokoknya, lantas membetulkan duduknya apabila aku bersila berhampiran dengannya.

"Kau kena sampuk semalam agaknya". Pakcikku bersuara sambil tergelak kecil.

Aku cuma mendengar apa yang diceritakannya. Katanya, dia lihat aku seolah-olah dipukau sesuatu dan langsung tak hiraukan panggilannya. Dia terus mengangkat semua joran dan mengemaskan barang. Aku kemudiannya didukung masuk ke kereta dalam keadaan kejang, seperti terkena kejutan elektrik.

Aku tak dapat huraikan sepenuhnya bentuk lembaga tersebut kerana setiap kali teringat, aku akan berasa takut. Sehingga ke hari ini, aku tidak berani memancing pada waktu malam. Mungkin aku dah kena fobia agaknya.

2 comments:

  1. Sekitar tahun 1998, kawan kami ajak pi pancing tengas dan kelah di belum. Kali terakhir dia pi (kali ke53 kot) dengan zul black, adiknya dan rombongan dari USM, redah hutan 8 jam untuk ssampai lubuk ikan. Tapi perjalanan balik kerumahnya di tg malim cepat, 1 jam saja - dia diterbangkan dengan hekikopter bomba!
    Arwah mati mengejut sebaik saja sampai di lubuk kegemarannya dan terpaksa tinggal di situ 2 malam sahingga heli bomba angkut arwah balik.

    ReplyDelete
  2. Ingin Dapat Jutaan Rupiah Setiap Harinya Dengan Mudah 🙂
    Gabung Sekarang Juga Dengan Situs Poker Online 100% Terpercaya 🙂 Cs Cantik Dan Ramah Siap Membantu 🙂

    Silahkan Kunjungi Link Kami : legendaq(dot)info
    Tunggu Apa Lagi Guyss...!!!!
    Gabung Sekarang Juga ^^

    Untuk info lebih jelas silahkan hubungi CS kami :
    - Wa : +62 821-6857-1911
    - Line : Legendaqq
    - Twitter : @JessicawijayaL

    Link alternatif :
    - www.legendaq(dot)info
    - www.legendaq(dot)org
    - www.legenda88(dot)com

    #legendaqq #rajaqq #indoqq #dewapoker #dewaqq #asikqq #ituqq #ahliqq #maindomino99 #aslidomino #ratuqq #bandarq #aduq #domino99 #corona #judiuangasli #perangbaccarat #bandarpoker #capsasusun #bandarqonline #sakong #bandar66 #akunpro #withdraw

    ReplyDelete

Anda suka artikel dalam blog ini ? Jangan lupa klik mana-mana iklan sebagai tanda sumbangan anda