1001 Rahsia Udang dan pelbagai cerita menarik.

Bagaimana mahu kekalkan Ikan supaya sentiasa segar

BAGI kaki pancing, apabila keluar memancing, tong air batu atau tempat Menyimpan ikan ibarat satu kewajiban. Jika tidak, ikan yang dikail cepat busuk. Ada beberapa tips untuk mengekalkan kesegaran ikan.



Pertama, menggunakan uncang jaring. Uncang biasa digunakan jika memancing di kawasan berhampiran rumah. Ikan yang dikail dimasukkan ke dalam uncang jaring dan direndam semula ke dalam air bagi membiarkan ikan itu terus hidup. Bagaimanapun saiz ikan terhad kepada yang kecil (kurang lima kilogram). Ikan bersaiz besar tidak sesuai dimasukkan ke dalam uncang jaring kerana jika meronta, jaring koyak dan ikan terlepas.

Cara kedua dan paling biasa digunakan ialah kotak air batu. Ia paling banyak digunakan terutama jika memancing di laut untuk dua atau tiga hari. Ikan yang dikail terus dimasukkan ke dalam tong air batu supaya sentiasa segar walaupun sudah mati. Ada banyak saiz dan kualiti kotak menyimpan ikan yang diperbuat daripada gentian kaca atau plastik. Jadi berhati-hatilah jika membelinya. Biar alah membeli, menang memakai.

Cara ketiga banyak diamalkan oleh pemancing yang pergi ke hutan lebih empat hari. Untuk membawa tong ikan adalah tidak praktikal kerana sukar mengangkutnya. Oleh itu, ikan yang dipancing perlu disiang termasuk membuang perut dan insang sekali. Sebaik-baiknya ikan yang disiang dielak daripada terkena air. Ikan yang sudah disiang ditabur sedikit garam sebelum disimpan di dalam bekas simpanan, biasanya tin biskut. Selain itu, ada pemancing memasukkan surat khabar di dalam perut ikan yang disiang bagi mengelakkan ia menjadi busuk.



1 comment:

Anda suka artikel dalam blog ini ? Jangan lupa klik mana-mana iklan sebagai tanda sumbangan anda